Sunday, May 23, 2010

SPA INTERVIEW UPDATE



From En Wan Azizam Wan Salleh, Malaysian Embassy, Moscow.
Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pelajar sekelian, pejabat ini menerima banyak maklumbalas positif berhubung rancangan pihak SPA untuk mengadakan sesi temuduga di Rusia. Namun tidak dinafikan terdapat juga maklumbalas negatif yang diterima terutamanya daripada pelajar yang telah membuat perancangan awal untuk bercuti. Walaubagaimanapun, untuk post kali ini saya akan fokuskan kepada beberapa persoalan yang dibangkitkan berhubung persediaan sebelum menghadiri temuduga. Pihak SPA telah dimaklumkan masalah dokumen pengenalan diri dimana kebanyakan pelajar tidak membawa dokumen asal ke Rusia. Pihak SPA memahami kesulitan yang dihadapi dan berharap pelajar boleh mengemukakan sekurang-kurangnya salinan kad pengenalan semasa sesi temuduga. Sekiranya tiada, pelajar masih boleh mengemukakan pasport sebagai ganti dokumen. Tiada sebarang dokumen ibu bapa dalam proses temuduga ini diperlukan untuk semua pelajar warga negara Malaysia. Pelajar yang berjaya didalam sesi temuduga tersebut dikehendaki mengemukakan dokumen asal kepada pihak SPA sebelum mereka mengeluarkan surat tawaran kelak. Sebaik menerima surat tawaran daripada SPA, pelajar akan ditempatkan di Kementerian Kesihatan dan hanya perlu menghadiri temuduga dalaman bagi menentukan tempat bertugas yang akan ditentukan oleh pihak kementerian kelak.

Saya juga ingin menjelaskan bahawa program temuduga di negara pengajian adalah langkah pro-aktif yang diambil oleh pihak SPA dalam membantu pelajar dan merupakan langkah pertama untuk memasuki alam pekerjaan. Pelajar tidak perlu risau terhadap soalan yang akan dikemukakan kerana saya yakin pelajar telah bersedia dengan ilmu perubatan yang dipelajari di institusi masing-masing tetapi mungkin perlu ditambah sedikit pengetahuan umum berkenaan sistem dan amalan perubatan semasa di Malaysia.

Untuk makluman, senarai pelajar tahun akhir telah diserahkan kepada pihak SPA untuk memudahkan mereka merancang pergerakan proses temuduga. Sekiranya terdapat pelajar yang tidak dapat hadir ke program tersebut, pelajar dikehendaki untuk memaklumkan kepada pejabat JPA Moscow melalaui email atau surat dan mengemukakan alasan yang munasabah.

Sekian, terima kasih

Original article available at http://psdmoscow.com/blog

1 comment: